
BERADA dalam radius pusat bandar Johor Bahru, Taman Rekreasi Hutan Bandar menjadi sebuah lokasi ideal untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan.
Terletak lebih kurang dua kilometer dari pusat bandar raya, taman rekreasi yang menyediakan pelbagai kemudahan itu meliputi kawasan seluas 20.23 hektar. Kedudukannya pula berada di persimpangan Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal.
Dengan rimbunan pohon-pohon menghijau, ketenangan air tasik yang mendamaikan, kolam mandi kanak-kanak dan kemudahan rekreasi yang menyeluruh membuatkan pengunjung tidak sabar untuk meneroka kawasan tersebut.
Konsep perancangan dan rekabentuk berteraskan struktur topografi, sumber air, flora dan fauna yang diadun dengan ruang-ruang aktiviti serta kemudahan secara bersepadu, mula diilhamkan pembangunannya sejak tahun 1987. Dengan mendapat bantuan kepakaran daripada Unit Penyelidikan dan Perundingan Universiti Teknologi Malaysia, suatu ciri pembangunan yang unik telah dilahirkan. Istimewanya kawasan rekreasi ini kerana mengekalkan rupabentuk asal dengan penebangan pokok dilakukan pada tahap yang paling minima. Hasilnya adalah sebuah kawasan persekitaran yang menghijau dengan nilai estetika serta pemandangan yang indah dan nyaman.
Dengan berkonsepkan 'Taman Rekreasi Keluarga' dalam suasana alam semulajadi yang nyaman, selesa dan harmoni, bertujuan untuk menyediakan kemudahan rekreasi dan riadah untuk pelbagai lapisan wargakota Johor Bahru.
Taman Rekreasi Awam Hutan Bandar Johor Bahru, telah dipilih sebagai salah satu destinasi dalam program Bandaraya Sejahtera yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation W.H.O), selain daripada Dewan Bandaraya Kuchin Utara Sarawak sejak tahun 1994.